LABUAN:
Regu tuan rumah Labuan A yang menyerlah selaku naib johan peringkat Kebangsaan di
Kuantan Mac lalu berjaya mencipta kemenangan pertama kali di hadapan
penyokong sendiri apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Sepaktakraw Antara
Regu Beliawanis Terbuka Wilayah Persekutuan Labuan 2015, di sini baru-baru ini.
Di peringkat akhir regu Labuan A
berjaya menebus kekalahan di pusingan awal bertemu regu yang sama, Jalan-jalan
Cari Makan A (JJCM) dari Sabah dalam permainan yang mengambil masa 50 minit dengan
mata kemenangan ‘straight set’ 21-15, 21-11 yang berlangsung di Dewan Kompleks
Sukan Labuan.
Labuan A yang dibimbing jurulatih
tempatan, Abidin Ahmad itu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta
sijil-sijil penghargaan disampaikan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hj Yunus
Hj Kurus yang juga merangkap Penaung Persatuan Sepaktakraw WP Labuan (PSTWPL).
Kejohanan tersebut yang
julungkali diadakan di sini anjuran bersama Majlis Sukan Labuan (MSL), Majlis
Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan PSTWPL.
Terdahulu itu, cabaran regu
Labuan A begitu sengit dan mendebarkan ketika pertama membawa masuk pemain apit
kiri Kebangsaan, Nur Azira Suhaimi bermain diposisi Tekong, digandingkan dengan
Norhayati Baharudin (Apit Kanan) dan Nurul Elyna Zulkiflee (Apit Kiri) dan
meletakkan Nurul Hamizan Rahmani sebagai tekong simpanan untuk menewaskan
Terengganu C di peringkat separuh akhir.
Ketika aksi dalam Kumpula D regu
JJCM A yang dikemudikan pemain apit kiri Kebangsaan, Razmah Anam, Nurfateha
Roslli (Apit Kanan) dan Nurfaezatun Masri (Tekong) membenamkan regu Labuan A
itu menerusi ‘straight set’ 21-14, 21-17.
Sementara itu, JJCM B tidak
bermain di peringkat separuh akhir kedua bagi memberi laluan rehat panjang
kepada JJCM A untuk beraksi di perlawanan akhir.
Terdahulu itu, regu JJCM B
berjaya menumpaskan Terengganu C melalui permainan ‘straight set’ dengan mata
21-19, 21-16 bagi penentuan tempaat ketiga dan keempat.
Naib johan JJCM A dan JJCM B di
tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM1,500 dan RM1,000 dan
sijil-sijil penghargaan. Regu Terengganu C sekadar jatuh tempat keempat
menerima hamper-hamper dan sijil-sijil penghargaan.
Majlis penyampaian hadiah
dilakukan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hj Yunus Hj Kurus yang juga
selaku Penaung PSTWPL.
Turut hadir menyaksikan
perlawanan akhir Pengarah MSL, Mohammad Khairul Yakop, Presiden PSTWPL Tarmizi
Hj Isa, Pengurus pasukan Terengganu Wan Sulaiman Wan Su dan Pengurus JJCM Awang
Ibrahim.
Sebanyak 12 pasukan mengambil
bahagian termasuk 4 regu dari Terengganu, Sabah diwakili 5 regu JJCM, Astaka
Nabawan, Astaka Sandakan dan 3 regu tuan rumah WP Labuan.
Berucap merasmikan penutup
kejohanan tersebut, Senator Datuk Hj Yunus menyokong penuh usaha murni yang
dilakukan persatuan sukan ini untuk membawa Kejohanan Sepaktakraw Beliawanis
Terbuka Kebangsaan yang pertama kalinya ke Labuan.
Katanya, kejohanan ini pada dasarnya sebagai menguji kemantapan pasukan-pasukan yang bertanding dan asas pemilihan para pemain untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA 2016) di Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan