Utusan Borneo, 17 Feb 2013
KUALA PENYU: Ikan kirung seberat 0.35 kilogram (350 gram) membawa tuah kepada Imam muda Kampung Mansud, Samali Dinin untuk muncul juara Pertandingan Memancing Pesisir Pantai Terbuka Kuala Penyu 2013 anjuran Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Malaysia, Cawangan Kampung Gimba diadakan di pantai Kampung Mansud baru-baru ini.
KUALA PENYU: Ikan kirung seberat 0.35 kilogram (350 gram) membawa tuah kepada Imam muda Kampung Mansud, Samali Dinin untuk muncul juara Pertandingan Memancing Pesisir Pantai Terbuka Kuala Penyu 2013 anjuran Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Malaysia, Cawangan Kampung Gimba diadakan di pantai Kampung Mansud baru-baru ini.
Sebagai pemenang, Samali, 47, merupakan Imam muda kedua kampung itu meraih hadiah wang tunai RM500.
Beliau satu-satunya peserta terawal berjaya menaikkan ikan kirung itu di lubuk Bacangkul dalam tempoh 22 minit saja sejurus pertandingan bermula.
Pada akhir tahun lalu Imam muda kampung itu, Muslim Kahar, 39, yang mendapat ikan pari seberat 9.3 kilogram berjaya memenangi pertandingan yang sama dikelolakan oleh Syukbah Remaja Kariah Masjid berkenaan.
Pemenang kedua kali ini dimenangi oleh peserta tuan rumah (Kg Mansud), Sahrul Asmat yang berjaya menangkap ikan banglus seberat 0.30 kg (300 gram) untuk meraih wang tunai sebanyak RM300.
Beliau merupakan peserta terakhir yang menaikkan ikan tersebut di lubuk Sabang ketika pertandingan hampir melabuh tirainya pada jam 3 petang.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh peserta dari Sipitang, Hamzani Yacop, 45, dengan mendapat ikan kirung terkecil seberat 0.10 kg (100 gram) pada jam 9.37 pagi yang membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dari pihak penganjur.
Idris Hj Majid dari Kg Kerukan, Kuala Penyu menjadi pemenang keempat dengan hadiah kemenangan wang tunai RM50 berjaya menaikkan anak ikan yu takik seberat 0.05 kg (50 gram) pada jam 1.11 petang, satu-satunya ikan paling terkecil yang berjaya dikailkan oleh peserta pada pertandingan itu.
Lagi tiga peserta, iaitu Sufri KK Mahmud dari Kg Tanjung Aru, Santi Ajud dan Mazlan Asmat dari Kg Mansud, telah memenangi tempat kelima hingga ketujuh dengan masing-masing membolot hadiah wang tunai sebanyak RM50.
Kegagalan peserta menaikkan ikan yang agak besar telah mengeciwakan pada kali ini, berbanding dengan penganjuran yang diadakan akhir tahun lalu.
Kali ini sebanyak 48 pemancing termasuklah peserta dari daerah-daerah Sipitang, Beaufort, Menumbok, Kuala Penyu dan WP Labuan turut mengambil bahagian.
Menurut Pengerusi penganjur Gostim Jinsin, ada di antara peserta dari luar gagal menyertainya disebabkan tersesat jalan termasuklah peserta dari Papar dan lainnya yang ditunggu sehingga jam 11 pagi, namun tidak sampai ke destinasi pertandingan.
Suasana tepi pantai juga diserikan dengan pelbagai acara sukaneka, termasuklah membina istana pasir, menjala bola golf, golek tayar kereta, bawa telor dalam sudu, limbarak, mencari harta kartun dan lebih 30 cabutan bertuah disediakan untuk para pengunjung.
Program ini bertemakan ‘Pantai Mansud Destinasi Seronok Bersantai’ memberi peluang kehendak tetamunya dengan lebih 10 buah gerai jualan dibuka kepada para pengunjung untuk menjamu selera. Sambil menikmati suasana pantai yang bersih dan udara nyaman di hadapan Laut Cina Selatan.
Hadir sama, Pemangku Pegawai Rela Daerah, Kuala Penyu, Mejar Nasari Kurus @Ghani dan beliau sekali gus menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang pertandingan memancing tersebut.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Bahagian PBS Kuala Penyu, Abd Rahman Ali; Ketua Kampung Mansud, Salli Hj Mokti; Pengerusi JKKK dan KRT Kg Gimba, Jipnih Ajang; Pengerusi JKKK Kg Mansud, Hj Kadir Hj Yusof serta beberapa pemimpin masyarakat setempat.
Ketika berucap menutup program itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Mansud, Hj Kadir Hj Yusof berkata, pertandingan itu menarik minat pemancing tempatan sambil mempromosikan pantai Kg Mansud di mata para pengunjung.
Katanya, program riadah penganjuran Rela Kg Gimba itu berjaya merapatkan hubungan silaturahim ahli-ahli pasukan itu dengan masyarakat komuniti di daerah sini.
Pihaknya sedang merancang aktiviti untuk mengelolakan satu program keugamaan sebagai memantapkan ketakwaan ummah yang boleh disertai penduduk di daerah ini.
Peserta memancing dari Kg Jangkit, Kuala Penyu yang enggan memberitahu namanya ketika ditemui berkata, program memancing ini sudah menarik minat ramai ‘kaki pancing’ dan baik sekali diteruskan penganjurannya.
Katanya, setiap penganjuran harus peka tentang menggalakkan ramai penyertaan berdasarkan lima hadiah utama lebih besar dan sebaiknya diperbanyakkan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan