Isnin, 2 Mei 2011

Selangor dan Pulau Pinang juara Kejohanan Sepak Takraw MAKSAK Malaysia 2011

Oleh SARAWALLIEH HJ. ASHRIN

(Utusan Borneo, Isnin 16 Mei 2011)

MELAKA: Pasukan Selangor dan regu senior Pulau Pinang masing-masing dinobatkan selaku juara pada Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan dan Antara Regu Veteran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Malaysia 2011 yang telah berlangsung di Dewan Majlis Sukan Negeri/MBMB Ayer Keroh, Melaka pada petang Ahad (24 April lalu).

Kemuncak perlawanan akhir itu didominasikan begitu gah oleh regu senior Pulau Pinang untuk muncul juara bagi Kategori Veteran, sejak acara regu itu diperkenalkan musim 2009 lagi.

Cabaran final antara regu senior itu telah berlanjutan ke tie break set dengan kemenangan mutlak 2-1 bagi pulau mutiara itu membenamkan regu senior Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di perlawanan akhir.

Didahului kehebatan kem Selangor lebih menyerlah dengan merayakan kemenangan disertai julangan Jalur Gemilang oleh ramai penyokongnya begitu mudah menumbangkan tetangganya Kuala Lumpur 2-0 untuk meraih kejuaraan bergaya acara berpasukan.

Tambah gamat dewan permainan dengan kehadiran penonton dan situasi mendebarkan ketika Selangor diberi tentangan sengit junior ATM di peringkat separuh akhir.

Kejayaan Selangor memperoleh mata tipis 17-16 di dalam permainan tie break game pada regu ketiga itu memusnahkan harapan junior ATM yang terpaksa akur bahawa mereka bukan lagi layak ke final musim ini.

Sebelum menamatkan perlawanan kedudukan mata ketika itu terikat 16-16, meskipun tekong regu C ATM berkelebihan mendapat servis, tetapi malangnya servis yang dilakukan tersasar ke sudut penjuru gelanggang lawan untuk memberikan kemenangan Selangor dengan mata penamat 17-16.

Permainan tambah rancak dan mendebarkan ketika aksi hebat kedua-dua regu C Selangor dan ATM turut kejar mengejar mata sehingga dapat menyamakan kedudukan mata deuce 14-14, 15-15 dan 16-16 pada set ketiga regu penentuan itu.

Tanpa tekanan pada set kedua bingkas jurulatih ATM, Azhar Ismail yang juga mantan pemain negara dan majikannya itu lantas menggantikan pemain tekong utamanya sebagai strategi baik untuk mengubah rentak permainan tetapi segalanya sudah terlewat untuk melakar cabaran lawan.

Kedudukan terikat 1-1 apabila regu pertama dan regu kedua masing-masing menang yang membawa perlawanan regu ketiga sebagai penentuan. Kedua-dua regu C itu bagaimanapun terikat sama sehingga perlawanan berterusan ke set ketiga.

Selangor juga menjulang mertabat sukan sepak takraw negara ini setelah menjuarai Kejohanan Piala Emas Khir Johari edisi ke-48 di Kuching, Sarawak pada akhir Mac lalu.

Pasukan Kuala Lumpur pula layak ke perlawanan akhir setelah mengalahkan pasukan Johor 2-1 di peringkat separuh akhir.

Dua pemain Selangor, Mohd Najib Iman diisytiharkan apit kiri terbaik dan Khairul Anuar yang juga pemain negara diumumkan sebagai tekong terbaik kejohanan. Di samping itu apit kanan terbaik dimiliki pemain ATM dan pemain paling senior dari regu Pulau Pinang.

Sebanyak 15 pasukan MAKSAK negeri menyertai kejohanan tahunan itu termasuk W.P.Labuan, ATM dan PDRM, kecuali Penjara Malaysia, Sarawak dan Sabah tidak mengambil bahagian musim ini.

Sabah pula diberi penghormatan menjadi hos penganjuran kejohanan dwi tahunan itu tahun depan.

Upacara penutup dan penyampaian hadiah dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang juga merangkap Yang Di Pertua MAKSAK Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh.

Terdahulu itu pada majlis perasmian dilakukan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali Mohd Rustam seterusnya jamuan makan malam bagi meraikan 15 kontinjen MAKSAK negeri-negeri yang mengambil bahagian.

Turut hadir ialah SU Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Kaseh dan Pengerusi Pengelola Kejohanan Sepak Takraw MAKSAK Malaysia, Datuk Hj Naim Abu Bakar serta para pegawai kanan kerajaan.

Majlis menaikkan bendera kejohanan sepak takraw Kebangsaan itu diiringi ikrar pertandingan serta Lagu MAKSAK Gemilang dengan disajikan oleh Kombo Briged Seni Melaka serta penyampaian cenderamata kepada semua Pengurus Pasukan.

Berikut adalah disenaraikan pasukan-pasukan yang mengambil bahagian pada Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan dan Antara Regu Veteran MAKSAK Malaysia 2011 (21-24 April 2011);

(Berpasukan) MAKSAK W.P.Labuan diundi dalam Kumpulan B bersama Kedah, Kelantan dan Johor. Selain itu Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dalam Kumpulan A.

Kumpulan C terdiri PDRM, Perlis, Melaka dan Pahang, manakala Kumpulan D Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan ATM.

(Regu Veteran) MAKSAK Labuan disenaraikan dalam Kumpulan B bersama Perak, Perlis dan tuan rumah Melaka. Sementara Kumpulan A terdiri Selangor, Pahang dan Kedah.

Kumpulan C pula termasuklah Pulau Pinang, Johor, PDRM dan Kelantan. Manakala Kumpulan D adalah ATM, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan