Sabtu, 2 Julai 2011

Regu KSM A juara Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Menumbok

(Akhbar Utusan Borneo, 04 Julai 2011)

Oleh SARAWALLIEH HJ ASHRIN
sarawallieh@yahoo.com

MENUMBOK: Kemenangan regu Kelab Sepak Takraw Mansud (KSM A) telah menepati ramalan ramai peminat sukan tempatan daerah ini apabila dinobatkan juara Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Menumbok yang berlangsung di Dewan Awang Samaun di sini, pada petang Ahad lalu (26 Jun 2011).

Tanpa pemain simpanan trio KSM A dengan mudah berjaya menjinakkan regu Labuan untuk muncul juara menerusi permainan ‘straight set’ dengan kiraan mata 21-11, 21-16 di perlawanan akhir di gelanggang A.

Bekas pemain SUKMA Sabah, Mohd Azlin Ag Maslin bermain sebagai apit kanan dan mantan pemain negeri Dulikom Ajak bertindak di posisi tekong, manakala Ali Ahmad Kimsin di bahagian apit kiri menjadi taruhan regu KSM A memang selayaknya menyandang juara untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM600.

Regu Labuan itu bagaimanapun terpaksa akur ditangan regu KSM A di final untuk meraih hadiah wang tunai RM400 selaku naib juara.


Kebangkitan trio regu KSM A terserlah apabila berjaya buktikan rentak permainan mereka ketika berdepan dengan regu Ya Pana (Sangkabok) pada separuh akhir dengan pertarungan sengit untuk menyingkirkan pencabar utamanya dengan kiraan 22-20, 21-17 untuk menampah tiket ke final.

Rangkaian regu Ya Pana itu masih mengekalkan pemain tekong Azlan Yusof, Zaidi Buah di apit kiri dan Saiful Rizal Orong apit kanan serta Jamal Bubin (tekong) yang pada lazimnya diturunkan pada set pertama setiap perlawanan. Malang sekali ketiadaan Nasri Lakum di apit kiri yang berangkat ke Sarawak pada hari kedua pertandingan telah menjejaskan kombinasi pasukan.

Regu Labuan satu-satunya pasukan yang didatangkan dari Wilayah Persekutuan Labuan mendapat suntikan semangat dengan kehadiran pemain tekong kidal Omar Mia, Muhdar Ainuddin (apit kiri) dan Hermanus Ayong (apit kanan), bagaimanapun tidak menurunkan Mohd Ariffin Syed Abdullah dan Latiff Bahari sekadar di bangku simpanan.

Pada hari pertama regu Labuan diaibkan regu Kota Team (Kota Klias), bagaimanapun mereka bangkit pada hari kedua setelah melakukan sedikit rombakan posisi dengan menggandingkan dua pemain kaki kidal, Omar Mia mengambil alih tugas tekong dari Hermanus Ayong menerajui posisi rejam.

Mereka berjaya menebus maruah pasukan Labuan di hari kedua itu untuk menewaskan setarunya Kota Team itu menerusi ‘rubber game’ dengan 21-19, 19-21 dan ‘tie break set’ 15-9 untuk layak ke perlawanan akhir.

Dua pasukan yang gagal layak ke final, iaitu regu Ya Pana (Sangkabok) dan Kota Team (Kota Klias) masing-masing berkongsi hadiah wang tunai RM150 sebagai pemenang tempat ketiga.

Kejohanan itu yang julung kali diadakan di Daerah Menumbok membabitkan penyertaan pasukan-pasukan dari daerah Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang, termasuklah dari Labuan dan Lawas, Sarawak.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengerusi Kejohanan, Johari Dewa sejurus perlawanan akhir.

Berucap pada majlis penutup kejohanan, Johari berkata pada masa akan datang pihaknya dijangka akan menganjurkan satu pertandingan yang lebih baik dan menarik lagi sebagai galakan.

Sebanyak 24 pasukan (regu) mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan selama dua hari dan dijalankan secara ‘double knock out system' itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan