Khamis, 14 April 2011

MAKSAK Labuan sertai Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan 2011 di Ayer Keroh, Melaka 21-24 April

LABUAN: Pasukan sepak takraw MAKSAK W.P.Labuan telah mempersiapkan diri ke Melaka Negeri Bersejarah sebelum terbang menggalas cabaran pada Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) peringkat Kebangsaan 2011 yang akan berlangsung di Dewan MBMB/MSN Ayer Keroh, Melaka pada 21-24 April ini.

Kejohanan tersebut merupakan buat ketiga kali penyertaan MAKSAK W.P.Labuan dipertandingan peringkat Nasional itu dan kali kedua disertai di luar.

Skuad sepak takraw MAKSAK W.P.Labuan diwakili seramai 12 pemain yang sebilangan besarnya muka baru dan menyerapkan semula tiga muka lama, iaitu Ali Ahmad Kimsin, Sarawallieh Hj Ashrin dan Ag Sulaiman Asman pernah beraksi pada Kejohanan MAKSAK Kebangsaan di Seremban 2001.

Musim ini MAKSAK Labuan diwakili Abidin Zaidin, Ali Ahmad Kimsin, Junos Jufri (Perbadanan Labuan), Mohd. Saiful Mohd Sir (Lembaga Hasil Dalam Negeri), Roszelin Rasmin (Jabatan Bomba dan Penyelamat), Rozi Mohd. Ali (Kastam Di Raja Malaysia), Haswandi Kasdi (Jabatan Kerja Raya), Azrul Abdol Garip (Jabatan Kesihatan), Hj Minggu Amat (Jabatan Pelajaran), Sarawallieh Hj Ashrin, Haris Hj Bustamah (Jabatan Bekalan Air) dan Ag Sulaiman Asman (Jabatan Pengairan dan Saliran).

Daripada 12 pemain itu satu regu veteran ditetapkan beraksi dalam kategori antara regu merupakan acara terbaru, kecuali berpasukan mempunyai tiga regu.


Kesemua pemain sedang menjalani latihan pusat tempoh 2 minggu sebelum bertandang ke Melaka pada pagi 21 April ini dan dijadualkan bertanding pada sebelah petang di Dewan MBMB/MSN Ayer Keroh.

Latihan intensif itu bagaimanapun dijalankan selama 2 jam saja setiap hari di bawah jurulatih, Hj Minggu Amat di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

MAKSAK Labuan mengambil bahagian Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan MAKSAK Kebangsaan buat pertama kali pada Tahun 2000 ketika menjadi tuan rumah diadakan dua venue masing-masing di Dewan Perbadanan Labuan dan Dewan Kompleks Sukan JBS Labuan.

Setahun kemudian (pada 2001) skuad MAKSAK W.P.Labuan bertandang ke Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Setelah itu sejak beberapa tahun MAKSAK Labuan gagal menyertainya.

Pada lazimnya kejohanan tersebut disertai 18 pasukan negeri, termasuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentara Malaysia (ATM) dan Penjara Malaysia.

Baru-baru ini para pemain W.P.Labuan yang berlatih telah diperkenalkan kepada Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perlesenan, Perbadanan Labuan, En Aziz Hamzah yang juga Bendahari MAKSAK W.P.Labuan bertindak sebagai Pengurus Pasukan ke kejohanan itu.

Beliau juga berpuas hati dengan pemilihan para pemain MAKSAK Labuan telah membabitkan 9 jabatan dan agensi kerajaan di W.P.Labuan berjaya digabungkan dalam satu pasukan.

Menurut Aziz lagi, pasukan kerdil ini tidak menaruh sasaran dan tanpa menjanjikan keyakinan untuk membawa sinar harapan, tetapi akan cuba memberi saingan sedaya mungkin di kejohanan peringkat Kebangsaan itu. - (Utusan Borneo, Isnin 18 Apr 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan