Jumaat, 4 Mac 2011

Persatuan disaran atur program latihan sepak takraw berterusan

LABUAN: Persatuan sepak takraw negeri berperanan penting agar merancang program yang berterusan dengan sekurang-kurangnya mengadakan latihan sukannya setiap minggu kepada para pemain remaja jika W.P.Labuan berhasrat melahirkan pasukan mantap untuk menghadapi kejohanan lebih mencabar di masa hadapan.

“Kita hendaklah mempunyai sasaran tinggi jika mahu meningkatkan permainan dan perlu meletakkan hasrat dan impian untuk maju kepada Persatuan Sepak Takraw W.P.Labuan (PSTWPL) agar pemain dapat bersaing pada sukan yang amat mencabar,” kata Pembantu Jurulatih Kebangsaan, Amir Abu Bakar.

Menurutnya, kem latihan seumpama ini menjadikan modual utama mengasah bakat remaja yang perlu digilap dalam suatu pertandingan yang mencabar.

Amir, berkata sewaktu berucap pada majlis penutup Kem Latihan Sepak Takraw Remaja Labuan di Bilik Mesyuarat KEMAS Kg Pantai, di sini.

Dalam pada itu W.P.Labuan merupakan negeri pertama di Malaysia mengadakan latihan ini sekali gus mendapat tunjuk ajar jurulatih negara.

PSTWPL mengundang dua jurulatih Kebangsaan, iaitu Iskandar Arshad dan Amir Abu Bakar meskipun mereka mempunyai jadual ketat untuk melatih pasukan negara bagi menghadapi sukan akan datang.

"Bagi merealisasikan hasrat itu persatuan dan jurulatih yang ada seharusnya memegang amanah ini untuk mengasah bakat-bakat muda bagi mencapai sasaran menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang," tekan pembantu jurulatih Malaysia itu lagi.

Tambahnya, persatuan PSTWPL hendaklah mengambil inisiatif dan perancangan selepas saja Kem Latihan Remaja ini sebagai perintis untuk membawa para pemain muda yang ada untuk menjalani latihan.

“Tempoh masa empat tahun adalah amat jauh dan lama, dan impian itu akan menjadi sia-sia jika latihan tidak dapat diteruskan dan ianya harus bermula dari sekarang,” tegas Amir Abu Bakar lagi.

Iskandar Arshad dan Amir Abu Bakar yang membawa skuad sepak takraw negara ke Guangzhou, China dalam percutian seminggu semata-mata untuk Kem Latihan Remaja W.P.Labuan.

Kedua mereka diundang khas Persatuan Sepak Takraw W.P.Labuan (PSTWPL) dengan mendapat persetujuan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Majlis penutup Kem Latihan itu dirasmikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mohd Nadzri Khairuddin. Hadir sama ialah Pengarah KEMAS Daerah Labuan, Norazhar Omar dan Yang Di Pertua PSTWPL, Suhili Hj Razali serta AJK tertinggi persatuan.

Pemain apit kiri, Raden Mas Kamarzaman (22) dipilih sebagai peserta terbaik Kem Latihan Sepak Takraw Remaja itu.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan