Rabu, 23 Februari 2011

PM merasmikan Penyempurnaan Sistem Bekalan Air Labuan Fasa II

TANGGAL 26 Februari 2011 (Sabtu), lebihkurang jam 3.30 petang Wilayah Persekutuan Labuan akan mencatitkan satu sejarah dengan kehadiran YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Hj Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia kita buat pertama kali ke pulau ini sejak menjadi pemimpin nombor satu negara.

Beliau diberi penghormatan merasmikan Penyempurnaan Sistem Bekalan Air Labuan Fasa II di Tangki Terminal Pulau Enoe, satu-satunya projek mega Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan bekalan air yang sepenuhnya dibekalkan dari tanah besar Sabah bagi menampung masalah kekurangan bekalan air untuk warga Pulau Labuan.

Tangki terminal Pulau Enoe tidak jauh dari pusat bandar ini melalui Jalan Patau-patau, terus ke tapak perasmian terletak di kawasan perindustrian Rancha-rancha, W.P.Labuan dimana stesen transit bekalan air bersih ini terus disalurkan ke loji air utama Jalan Kolam. Sesuai dengan upacara perasmian ini satu-satunya pendaratan saluran paip air yang membekalkan dari Loji Rawatan Air Kampung Lawa Gadong, Beaufort, Sabah ke Pulau Labuan.

Pelaksanaan projek fasa II Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) ini merupakan pembinaan sebuah loji pemprosesan air dan paip air dasar laut yang kedua menghubungkan Loji Rawatan Air terletak di Kampung Lawa Gadong, Beaufort bagi membekalkan air bersih ke Loji Rawatan Air utama di Jalan Kolam.

Sebuah lagi loji rawatan air Labuan fasa 1 ditempat yang sama di Beaufort dikendalikan oleh Syarikat Encorp Utilities Sendirian Berhad sehingga sekarang dan sebelum ini konsesinya dipegang oleh Syarikat Labuan Water Supply Sdn Bhd (LWS). Loji air pertama itu yang sudah beroperasi hampir 30 tahun lalu.

Di samping itu JBAL juga mempunyai dua loji rawatan air terbaru dan moden, termasuklah Mini Loji Air Tanjung Kubong terletak di Pohon Batu yang kini mula beroperasi dan satu lagi Projek Bekalan Air Reverseas Osmosis di Kinabenua merupakan loji penapis air yang pertama di negara kita sedang dalam pembinaan dan dijangkakan siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini (2011).

Dua lagi loji air JBAL yang sedia ada terletak di Jalan Kolam dan Sungai Pagar terus menjalankan operasi harian sudah sekian lama, di samping itu kedua loji ini telah juga dinaiktarafkan dengan sistem yang serba moden.

Dalam rangka lawatan rasmi Perdana Menteri itu juga akan merasmikan sebuah Klinik 1Malaysia, Kementerian Kesihatan terletak di Taman Mutiara Sungai Bedaun dan sekali gus sebelum berangkat pulang malamnya terlebih dahulu beliau akan menghadiri upacara penutup sambutan Ulang Tahun ke-27 Hari Wilayah Persekutuan Labuan di Dataran Labuan pada jam 8.00 malam (26 Feb, Sabtu). - Teks Oleh: Sarawallieh Hj. Ashrin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan