Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak telahpun merasmikan Penyempurnaan Projek Sistem Bekalan Air Labuan Fasa II yang menelan belanja RM387 juta di bawah peruntukkan Rancangan Malaysia Ke-9 dengan pembinaan sebuah lagi Loji Rawatan Air yang kedua terletak di Kampung Lawa Gadong, Beaufort, Sabah dan juga Pemasangan Saluran Paip Air Dasar Laut II, paip jenis MS bergarispusat 660-760mm sepanjang 47.7 kilometer yang jajarannya merentasi daratan, paya dan dasar laut melalui Teluk Brunei terus menuju ke Pulau Labuan.
Projek tersebut yang bermula sejak April 2008 sehingga siap sepenuhnya Februari 2011 merupakan projek mega Jabatan Bekalan Air W.P.Labuan (JBAL) yang dilaksanakan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi meningkatkan keupayaan sistem bekalan air bersih berkapasiti 76 Juta Liter Sehari (JLH) yang dijamin mencukupi sehingga Tahun 2020, terdahulu itu bagi menampung keperluan air terawat sebuah Loji Bekalan Air Labuan Fasa I di Beaufort yang berkapasiti 38 JLH juga telah beroperasi sejak Tahun 1989 lagi.
Melalui kepesatan pembangunan di W.P.Labuan ketika ini memerlukan sekurang-kurangnya 60 JLH bagi kegunaan sejumlah 85,000 penduduk, tidak termasuk kegunaan pihak perindustrian berbanding bekalan air terawat yang diterima 56 JLH sekarang. Bagaimanapun berdasarkan kajian dibuat keperluan bekalan air di W.P.Labuan dijangka akan bertambah meningkat penggunaannya kepada 98 juta JLH menjelang Tahun 2030.
Hadir sama pada majlis perasmian projek itu yang diadakan di Tangki Terminal Pulau Enoe ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Seri Peter Chin Fah Kui, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Dato’ Nong Chik Raja Zainal Abidin serta timbalannya, M.Saravanan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus J.Ongkili dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Hj Mahal.
Sambil para tetamu jemputan menikmati jamuan petang, Perdana Menteri juga dibawa melawat ke sudut pameran pelaksanaan projek tersebut dan taklimat ringkas disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air KeTTHA, Dr Hasnul Mohd Salleh. Sebelum berangkat balik PM sempat bersalaman dengan warga JBAL serta pegawai kerajaan di W.P.Labuan. - Teks Oleh: Sarawallieh Hj. Ashrin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan