Khamis, 14 April 2011

Mai Tem & Kompleks-A juara takraw veteran dan wanita tertutup Labuan 2011

LABUAN: Regu Mai Tem dan regu Kompleks-A masing-masing muncul sebagai juara kategori lelaki veteran dan kategori wanita pada Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Labuan 2011 yang julung kali dianjurkan Persatuan Sepak Takraw W.P.Labuan (PSTWPL) yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan JBS di sini, baru-baru ini (Ahad, 3 April 2011).

Aksi final itu mempertaruhkan regu Mai Tem berjaya menjinakkan regu PM dengan kemenangan ‘straight set’ 22-20, 21-12 untuk membawa pulang hadiah sebuah trofi, wang tunai RM300 dan medal-medal.


Sekalipun regu Mai Tem mendapat tentangan sengit pencabarnya regu PM itu apabila tergemam dikejar mata diuce 20-20 pada set pertama, tetapi bangkit menguitp dua mata berturut-turut dengan seterunya dari kumpulan A itu untuk memenangi saingan final itu 22-20.


Tanpa menurunkan pemain simpanan, Abidin Ahmad yang juga selaku jurulatih bingkas mengatur kebangkitan Mai Tem mengawal pertahanan yang baik sekali dikemudikan Minggu Amat diposisi tekong, Ibrahim Sidop diapit kiri dan Awang Damit Sabtu diapit kanan menang bergaya 21-12 pada set kedua bagi kemenangan mutlak selaku juara.


Begitu juga trio PM dengan keringat akhir terpaksa akur, meskipun Jeffry Nasir mengambil posisi tekong, Jamaluddin Abdullah apit kiri dan Safar Sabtu diapit kanan juga tidak menurunkan pemain Suib Osman sekadar dibangku simpanan untuk meraih hadiah wang tunai RM200 serta medal-medal iringan.

Sementara itu regu Chillie dan Saga Vet yang kecundang di peringkat separuh akhir sekadar berkongsi ditempat ketiga dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM100 serta medal-medal sumbangan pihak penganjur.

Regu Chillie selaku johan kumpalan B diwakili Kassim Zakaria (tekong), Omar Mia (fidder) dan Baha Mohd Said (killer) tewas ‘rubber game’ dengan 15-21, 21-18 dan ‘tie break set’ 10-15 kepada regu PM di peringkat separuh akhir.

Manakala regu Saga Vet yang diterajui Matnor Amit (tekong), Haris Hj Bustamah (fidder), Abd Jalil Hj Dalimi (killer) digantikan Zaiman Rosli kecundang kepada Mai Tem dengan straight set 12-21, 9-21 di separuh akhir.

Pemain regu JBAL UB, Sulai Daud, 57, diisytiharkan sebagai pemain senior di kejohanan itu menerima sebuah trofi.


Terdahulu itu tiga regu wanita Kompleks yang mendapat bimbingan jurulatih Abidin @Jumat Ahmad telah menyapu bersih dengan memenangi Johan, naib johan dan tempat ketiga bagi kejohanan sepak takraw kategori wanita yang dipertandingkan secara ‘round robin’.

Kesemua (pasukan) mereka membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM400, sebuah trofi serta medal-medal untuk semua pemain.


Selaku johan regu Kompleks-A diwakili pemain adik beradik Nor Azila Suhaimi (tekong), Nor Azira Suhaimi (apit kiri), Kirstey Selva Kumar (apit kanan); Kompleks-B pula menjadi naib johan dibarisi Nurul Haidatul Lyanti Asman (tekong), Arni Nurfatin Arpa (apit kanan) dan Siti Nazirah Roslan (apit kiri).

Dua regu pemenang tempat ketiga, iaitu Kompleks-C diwakili Nurul Nadirah Jamaludin (tekong), Nurul Muhainie Muhalim (apit kiri) dan Nurul Syafinie, manakala regu Durian Tunjung yang diketuai Hamidah Maidan (apit kanan), Saldiah Salam (apit kiri) dan Mayang Mahmud (apit kanan) serta Yaty selaku pemain simpanan.

Ketika ditemui jurulatih ketiga-tiga regu Kompleks A,B dan C, Abidin @Jumat merasa berpuas hati dengan kebangkitan corak permainan para pemain wanita yang dilatihnya berjaya mendapat sentuhan baik dan bersaing dengan pemain lebih senior di kejohanan tersebut.

Sebanyak 9 regu lelaki veteran dan 5 regu wanita mengambil bahagian di kejohanan itu yang pertama kali dianjurkan oleh PSTWPL itu.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (P) W.P.Labuan, Sahriman Hj Basir. Hadir sama ialah Presiden PSTWPL, Suhili Hj Razali dan beberapa anggota kepimpinan persatuan tersebut.

Penolong SU persatuan berkenaan yang juga Setiausaha pertandingan Sarawallieh Hj Ashrin berkata, kejohanan itu juga bertujuan untuk memilih bakal pemain yang mewakili Labuan ke Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Ayer Keroh, Melaka pada 21-25 April ini.

Katanya, kejohanan ini buat terakhir menggunakan format kiraan 21 mata, dan pihak persatuan ini sentiasa menyahut saranan Lembaga Pengadil PSM supaya mengamalkan kiraan mata 15 yang kini mula dikuatkuasakan disemua peringkat kejohanan negeri. – (Utusan Borneo, Sabtu 16 Apr 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan