Selasa, 17 Mei 2011

Regu Marathon-A juara Kejohanan Sepak Takraw LSUS 2011

(Utusan Borneo, Rabu 18 Mei 2011)

LABUAN: Regu Marathon-A muncul sebagai juara pada Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Liga Sukan Untuk Semua (LSUS 2011) peringkat W.P.Labuan anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw W.P.Labuan (PSTWPL) yang berakhir di Dewan Kompleks Sukan Labuan, di sini pada petang Ahad lalu (7-8 Mei).

Aksi final berjaya dimenafaatkan sebaiknya oleh regu Marathon-A yang dianggapnya satu pertemuan balas dendam apabila menumpaskan musuh tradisinya regu Rejam-A dengan kemenangan straight set 15-11, 15-13 di perlawanan akhir.

Bergelar naib johan dalam kumpulan yang sama, regu Marathon-A juga berjaya menebus kekalahan mereka pada saingan liga setelah tewas straight set 7-15, 12-15 kepada regu Rejam-A sekali gus menjadi johan Kumpulan C untuk kedua-duanya mara ke peringkat suku akhir.

Menurut jurulatihnya, Hj Minggu Amat yang juga selaku pemain tekong regu Marathon-A, bahawa corak permainan yang mantap ini adalah atas kerja keras dan latihan intensif lebihkurang 2 minggu sebelum menyertai Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan MAKSAK peringkat Kebangsaan 2011 baru-baru ini.

Dua pemain yang mewakili MAKSAK W.P.Labuan, iaitu perejam kidal Junos Jufri dan Hj Minggu Amat (tekong) dengan digandingkan pemain apit kiri, Jamal Kassim bersama Junos juga baru mewakili W.P.Labuan ke Kejohanan Piala Emas Khir Johari di Kuching akhir bulan Mac lalu. Di samping itu Mohd Sahrul Abdullah diletakkan sebagai pemain simpanan.

Selaku juara regu Marathon-A merangkul hadiah wang tunai sejumlah RM500, di samping medal-medal iringan dan sijil-sijil penghargaan dari penganjur.

Naib johan, regu Rejam-A yang juga diwakili dua pemain MAKSAK Labuan, iaitu apit kiri Ali Ahmad Kimsin dan apit kanan Roszelin Rasmin merupakan keduanya pemain Piala Emas Khir Johari Labuan bersama tekong Mohammad Zulhairie Ismail dan Abidin Ahmad bertindak sebagai pemain dan jurulatih pasukan.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM300 berserta medal dan sijill penghargaan.

Di peringkat separuh akhir regu Rejam-A menyingkirkan regu Marathon-B dengan kiraan straight set 15-11, 15-9, manakala regu Marathon-A menewaskan regu Bara-B melalui permainan tiga set dengan 15-17, 15-5 dan tie break set 15-7.

Dengan kekalahan regu kedua Marathon (B) dan Bara-B, masing-masing sekadar membawa pulang hadiah wang tunai RM100 serta medal-medal individu dan sijil-sijil penyertaan.

Empat pasukan lagi termasuklah Rejam-B, Bara-A, Saga-B dan Buton-C kecundang di suku akhir kerana gagal menunjukkan permainan memberangsangkan kerana keletihan menghadapi banyak perlawanan dan tidak cukup latihan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Belia di Jabatan Belia dan Sukan W.P.Labuan, Ronney Boniface Mugi bagi pihak Pengarah jabatan berkenaan.

Sebanyak 28 regu/pasukan mengambil bahagian pada kejohanan LSUS yang berlangsung selama dua hari itu. Acara futsal juga diadakan secara serentak pada hari yang sama. sarawallieh@yahoo.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan