KUALA PENYU: Tuan rumah, regu Gimba-B melakar sejarah tersendiri sekali gus muncul juara sulung pada Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Aidilfitri yang julung kali diadakan secara Terbuka Daerah Kuala Penyu atas anjuran Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gimba (Kg Mansud) di sini, baru-baru ini (16-17 September 2011).
Regu kedua penganjur itu berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan regu utama jirannya, Kerukan-A di dalam pertarungan sengit hampir satu jam melalui permainan ‘rubber game’ dengan 21-18, 12-21 dan sehingga berlanjutan ke ‘tie break set’ untuk menang 15-10 di perlawanan akhir yang berlangsung di gelanggang terbuka berhadapan Surau Kampung Gimba, Kg Mansud.
Cabaran dibawa Gimba-B yang diperkuatkan Dulamat Hj Bisnin (tekong), Jamal Kassim (apit kiri), Dulaham Ajak (apit kanan) dan pemain simpanan Mohd Noor Musa (apit kiri) melakar kemenangan bergaya itu dengan 21-18 pada set pertama.
Bagaimanapun kekentalan trio Kerukan-A yang dibarisi Hamidun Hj Norsidi (tekong), Ag Juhaili Hj Muslim (apit kiri) dan Mohd Azlin Ag Maslien yang diisytiharkan selaku pemain terbaik kejohanan itu, bagaimanapun tewas pada set kedua dengan kiraan mata 12-21 kepada regu Gimba-B.
Kemenangan mutlak Gimba-B terlakar selepas pertukaran gelanggang apabila menundukkan lawan pada set penentuan untuk menamatkan saingan dengan 15-10 bagi membawa pulang hadiah wang tunai dan trofi-trofi individu yang disediakan oleh pihak penganjur.
Selaku naib johan, Kerukan-B juga meraih hadiah wang tunai dan empat trofi perseorangan, selain hadiah serupa juga dikongsi bersama regu Klias-B dan Menumbok Sr di tempat ketiga.
Terdahulu itu regu juara itu (Gimba-B) menempah tiket ke peringkat akhir setelah menyingkirkan regu Klias-B menerusi ‘straight set’ dengan 21-18, 21-14 di peringkat separuh akhir.
Tersentak itu juga regu Menumbok Sr yang diwakili dua beradik Abd Roslan Zakir (tekong), Abd Rosli Zakir (apit kiri), Mohd Sahrul Wahid (apit kanan) dan pemain senior Karim Hj Tassim selaku tekong simpanan, bagaimanapun kecundang kepada regu Kerukan-B 18-21, 14-21 di separuh akhir.
Sebanyak 22 pasukan (regu) mengambil bahagian yang membabitkan penyertaan dari daerah Sipitang, Beaufort, Menumbok dan Kuala Penyu di kejohanan selama dua hari itu.
Pada malamnya tentatif acara dimeraihkan dengan Penutup Bulan Kemerdekaan dan Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai acara termasuklah pertandingan-pertandingan fesyen dan melukis kanak-kanak, karaoke peringkat akhir, di samping 31 cabutan bertuah untuk penonton yang menawarkan hamper-hamper dan sekali gus penyampaian hadiah kejohanan sepak takraw.
Majlis malam itu seawalnya dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing dan ahli bebas Datuk John OT Ghani serta Ketua Kampung Gimba, (KK) Hj Muin Atar, KK Salli Hj Mokti (Kg Mansud) dan Pengerusi JKKK Kg Mansud, Hj Kadir Hj Yusof.
Kedua ahli jemputan khas, iaitu Adun Kuala Penyu dan ahli bebas itu seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang beberapa acara yang dipertandingkan.
Menurut Pengerusi pelaksana (KRT Kampung Gimba), Jipni Ajang penganjuran aktiviti pertandingan sepak takraw terbuka ini sebagai galakkan kepada golongan remaja terus mengekalkan permainan tradisi ini dari peringkat kampung lagi.
“Di samping itu, program ini sebagai usaha kami memohon jasabaik pihak kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mendapatkan kemudahan asas sukan seperti gelanggang permainan futsal, bola tampar, sepak takraw dan juga astaka (grandstand),” jelasnya.
“KRT Kampung Gimba (Kg Mansud) masih berusia ‘setahun jagung’ lagi dan ia juga baru ditubuhkan pada bulan Mei tahun ini,” tambah Jipni yang juga Pengerusi JKKK kampung berkenaan.
Jipni berkata, bagi merealisasikan hasrat itu badan JKKK dan Surau kami bercadang akan berganding bahu mengadakan program keagamaan pada perayaan Hari Raya Aidiladha (Haji) tahun ini bertempat di Surau Kg Gimba, iaitu terletak dilokasi kejohanan sepak takraw ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan