Isnin, 4 Februari 2013

Pertandingan Memancing Terbuka Kuala Penyu 10 Februari

Utusan Borneo, 4 Februari 2013

KUALA PENYU:  Adun Kuala Penyu, John Teo Mau Seng bakal merasmikan Pertandingan Memancing Pesisir Pantai Terbuka Kuala Penyu 2013 yang akan diadakan di Pantai Kampung Mansud pada 10 Februari ini (Ahad), jam 8.00 pagi.

Sementara itu majlis penutup dan penyampaian hadiah dijangka akan dilakukan oleh Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Malaysia, Negeri Sabah, Samasuddin Hj Lawih sejurus pertandingan itu berakhir.

Demikian kata Pemangku Pegawai Rela Daerah Kuala Penyu, Mejar Nasari Kurus @Ghani ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Menurutnya, aktiviti tersebut dikelolakan oleh Rela Cawangan Kampung Gimba (Mansud) yang buat pertama kali diadakan di pantai kampung berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Pelaksananya, Gostim Jinsin (gambar) ketika berkata, lokasi pertandingan memancing di lubuk Bacangkul ke lubuk Sabang adalah dalam jarak 0.5 kilometer.
GOSTIM JINSIN Pengerusi penganjur.

Katanya, pertandingan memancing itu dijalankan selama enam jam bermula tepat 9.00 pagi dan tamat jam 3.00 petang.

“Selain itu pelbagai acara sukaneka turut diadakan”, katanya yang berpangkat Leftanan dalam pasukan Rela di sini.

Acara yang dipertandingkan termasuklah membina istana pasir, menjala bola ping pong, membawa telor dalam sudu, sukan tradisional dan cabutan bertuah sebagai pengisian untuk menarik lebih ramai pengunjung.

Sehubungan itu, Gostim menyeru orang ramai khasnya masyarakat komuniti dan ahli-ahli Rela di daerah sini dijemput datang pada program yang julung kali diadakan itu.

“Program ini sebahagiannya menggalakkan ahli-ahli Rela untuk beriadah sambil mengadakan suatu aktiviti untuk kecergasan fizikal dan mental peserta,” katanya.

Gostim berkata, program tersebut adalah bertujuan untuk mempromosikan pantai Kampung Mansud sebagai destinasi strategik bagi tarikan pelancong domistek dan dari luar.

“Program ini bertemakan ‘Pantai Mansud Destinasi Seronok Bersantai’ yang dirasakan sangat sesuai untuk semua pihak yang mengambil bahagian”.

“Kami juga memberi peluang peniaga-peniaga tempatan membuka gerai-gerai jualan untuk para pengunjung boleh menjamu selera di situ,” katanya.

Tambah Gostim, aktiviti seumpama ini sewajarnya diberi perhatian semua pihak agar keunikan Kampung Mansud dapat menambat hati para pengunjung. – Oleh Sarawallieh Hj. Ashrin/ sarawallieh@yahoo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan