Khamis, 4 April 2013

Dominasi regu tuan rumah, Perkasa B, Perkasa A dinobatkan johan dan naib johan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Pedalaman Bawah

Utusan Borneo, Sabtu 6 Apr 2013

KUALA PENYU; Dua regu tuan rumah, Perkasa-B dan Perkasa-A masing-masing dinobatkan sebagai johan dan naib johan pada Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Pedalaman Bawah anjuran Astaka Kuala Penyu yang berlangsung dua hari di Dewan Syah Bandar Makang pekan di sini pada Ahad lalu.
Regu Perkasa-B diisytiharkan juara

Kelebihan pengalaman telah menjadi pengukur pada kedua regu penganjur itu untuk mara ke peringkat akhir apabila berjaya menewaskan pencabar mereka di perlawanan separuh akhir.

Namun aksi perlawanan akhir kedua regu penganjur itu bagaimanapun gagal ditonton oleh sebilangan peminat sukan itu pada malamnya disebabkan kesuntukkan masa apabila pertandingan berlanjutan hingga ke malam.
Regu Perkasa-A selaku naib juara
Selepas pihak penganjur berbincang dengan kedua-dua regu tersebut untuk tidak meneruskan persaingan, maka ahli jawatankuasa bersetuju sebulat suara dengan mengambil keputusan bagi memberi laluan kemenangan percuma kepada regu remaja, Perkasa-B untuk muncul juara.

Regu johan itu (Perkasa-B) membawa pulang hadiah wang tunai RM500, sebuah piala iringan dan piala pusingan sumbangan Datuk Hajjah Azizah DSP Hj Mohd Dun.
Sahran Untai menyerahkan sijil pendaftaran Astaka Kuala Penyu kepada Tahar Hj Aneh disaksikan John Teo.

Sementara naib johan, regu senior Perkasa-A itu meraih wang tunai RM300, di samping sebuah piala iringan.

Perkasa-A turut dikemudikan bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tahar Aneh (tekong), dua beradik Dulaham Ajak (apit kanan) dan Dalimin Ajak (apit kiri).

Manakala regu Perkasa-B pula diwakili pemain negeri di Sukma Pahang musim lalu, Mohd Nazwierul Mat Sapawi (tekong), Mohd Azlin Ag Maslin (apit kanan) dan Dulikom Ajak (apit kiri) serta Dulamat Bisnin sebagai pemain simpanan.
Dari kiri Tahar Hj Aneh, Sarawallieh, John Teo dan Dalimin Ajak.

Terdahulu, regu Perkasa-B melepasi halangan di separuh akhir apabila menundukkan mudah ke atas regu Kotas-B dari Beaufort menerusi ‘straight set’ dengan 15-5, 15-8.

Cabaran sengit pada separuh akhir turut dihadapi regu Perkasa-A meskipun menang permainan ‘rubber game’ ke atas PSTS-A dari Sipitang melalui kiraan mata 15-5, 13-15 dan ‘tie break set’ 15-10.

Regu Kotas-B dan PSTS-A yang terkandas di separuh akhir itu diumumkan sebagai pemenang ketiga dengan masing-masing menerima wang tunai RM200 dan sebuah piala iringan.
Diapit dari kiri Jurulatih Shutip dari Thailand, SU Agung Astaka Sahran Untai dan John Teo.

Sebanyak 35 regu mengambil bahagian di kejohanan yang berlangsung 2 hari yang membabitkan daerah Sipitang, Beaufort, Membakut, Menumbok dan Kuala Penyu.

Penyampaian hadiah dilakukan oleh dua aktivis sukan daerah ini, iaitu bekas Presiden Astaka Beaufort, Mohammad Hj Abd Ghani dan Timbalan Pengerusi Astaka Kuala Penyu, Ismail Musra.
Jawatankuasa Pelaksana Pertandingan merakamkan gambar kenangan.
Terdahulu itu pada sebelah paginya majlis pembukaan dan penutup kejohanan itu telah dirasmikan oleh bekas Adun Kuala Penyu, John Teo Mau Sing yang mewakili bekas Adun Klias, Datuk Hajjah Azizah DSP Hj Mohd Dun. – Sarawallieh Hj. Ashrin.
Aktivis sukan sepak takraw
Kotas-B (duduk mencangkung) kecundang di separuh akhir ditewaskan Perkasa-B (berdiri).

Regu PSTS-A (duduk) terkandas di separuh akhir dikalahkan Perkasa-A (berdiri).

Mohd Nazwierul Mat Sapawi tekong muda Sabah yang beraski di Sukma Pahang 2012.
 Keratan akhbar Utusan Borneo; Ahad, 7 Apr 2013
Keratan akhbar Utusan Borneo; Sabtu, 6 Apr 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan