Pasukan Wilayah Persekutuan Labuan telahpun mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari edisi ke-48 yang akan diadakan di Kuching, Sarawak dari 23-27 Mac 2011 ini setelah beberapa tahun tidak mengambil bahagian.
Seramai 12 pemain terpilih adalah merupakan pemilihan jangka singkat dibuat pihak persatuan ini kerana kesuntukkan masa. Mereka sedang mengikuti latihan pusat kendalian Abidin @Jumat Ahmad bertempat di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.
Para pemain yang diserapkan dalam skuad Labuan, iaitu Aminuddin Kimin, Muslim Akum, Hermanus Hayong, Mohd Zulhairie Ismail (Tekong); Roszelin Rasmin, Junos Jufri, Mohd Iskandar Yahya, Mohd Roman Juddin (Apit Kanan); Muhdar Ainuddin, Jamal Kassim, Ali Ahmad Kimsin dan Jackles Yulius (Apit Kiri).
Mereka menjalani latihan selama lebihkurang tiga minggu sebelum bertandang ke Kuching menaiki pesawat AirAsia 22 Mac ini dan merupakan buat pertama kejohanan berprestij di Malaysia itu yang diadakan di luar Semenanjung.
Bagaimanapun cabaran pasukan Labuan yang boleh memberi tentangan hebat kepada pasukan lain pada kejohanan itu telah menjadi pincang dan nampak hilang tajinya.
Regu pertama yang dijangkakan mampu bersaing kini kehilangan pemain utama yang juga apit kanan, Roszelin Rasmin yang gagal mendapat pelepasan majikannya.
Khidmat apit kanan, Roszelin yang memang amat diperlukan untuk bergandingan dengan apit kiri Muhdar Ainuddin dan Muslim Akum di posisi tekong sepatutnya dalam regu utama nampaknya gagal dilamar.
Mengikut sumber diperolehi, memberitahu Roszelin akan menghadiri kursus di Terengganu sebagai tugasan wajib yang patut dihadirinya pada tempoh kejohanan ini berlangsung.
Skuad Labuan kembali suram, hilang sengatnya dan sudah pasti membantutkan strategi pasukan yang diatur oleh jurulatih Abidin Ahmad, oleh itu khidmat Roszelin terpaksa dilupakan dan sedia mencari pengganti.
Tiada pilihan lain selaku calon untuk mengisi posisi Roszelin, pastinya memberi peluang pemain kaki kidal Junos Jufri sebagai apit kanan kedua untuk menggalas cabaran regu pertama itu nanti.
Tempahan tiket penerbangan udara sudah diurus, namun tidak kedengaran lagi sesuatu cadangan pihak pengurusan untuk memanggil pemain lain sebagai pengganti Roszelin, mungkin kerana sudah kesuntukkan masa dan masalah lain yang dihadapi.
Kurang pasti sama ada pihak pengurusan akan memanggil semula pemain yang disingkirkan tempoh hari untuk memikul tanggungjawab yang ditinggalkan Roszelin Rasmin diposisi kanan itu.
Besar kemungkinan trio Aminuddin Kimin (tekong), Jamal Kassim (apit kiri) dan Mohd Iskandar Yahya (apit kanan) terus dikekalkan sebagai regu kedua, kita seharusnya jangan memperkecilkan kewibawaan pemain senior yang berpengalaman seperti Ali Ahmad Kimsin yang masih bagus di apit kiri.
Kita mahu melihat dasar pemilihan pemain dan pegawai itu tidak terpengaruh atas dasar setiakawan, dan biarlah pemilihan itu mengikut kriteria tertentu serta disiplin paling utama dan terpenting.
Melihat kepada reaksi latihan yang diadakan, sesungguhnya pihak pengurusan patut hadir dan memikirkan soal kebajikan pemain, barangkali juga urusan lain yang perlu dibantu.
Mungkin terhakis tomahan orang kerana dasar pemilihan melihat kepada bakat dan prestasi pemain tunjukkan pada kejohanan terbaru, seperti Terbuka Labuan sempena Hari Wilayah baru-baru ini, mungkin juga memanggil pemain berpotensi baik yang dilihat dari merata tempat di sekitar Pulau Labuan.
Maka jangka panjang sebenarnya Labuan adalah mengintai pencapaian cemerlang di kejohanan yang lebih mencabar, di samping kegemilangan sebagai penganjur dilaman sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan