(Utusan Borneo, Ahad 2 Oktober 2011)
BEAUFORT: Regu tuan rumah, Kota-B dari Kota Klias dinobatkan selaku juara pada Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu peringkat Daerah Pedalaman Bawah anjuran bersama Pejabat Parlimen Kawasan P.177 Beaufort dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA) Cawangan Beaufort di sini, (24-25 September 2011) baru-baru ini.
Regu kedua Kota Klias itu berjaya menewaskan regu kedua Berangkok-B melalui permainan ‘straight set’ dengan kiraan mata 21-17, 21-16 di perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Sri Pertayu, Kota Klias.
Trio Kota-B mempunyai kelebihan selaku tuan rumah ketika mereka berdepan ratusan penonton perlawanan akhir dengan sorakan gemuruh tambah menghangat suasana dewan apabila regu itu dikemudikan tekong Ahmad Mursidi, Zahawi Alias apit kiri dan Amiruleazan Ag Achi di apit kanan untuk terus memunggut mata demi mata mengatasi lawan.
Pencabarnya regu Berangkok-B dari awal lagi gagal memintas mata sekalipun dapat menyamakan kedudukan seketika namun berjaya diatasi lawan, dilihat agak keletihan selepas aksi separuh akhir hanya berehat 20 minit sebelum berentap di peringkat akhir dan mungkin juga faktor usia antara dua pemain seniornya berbanding para pemain lawan.
Dua pemain senior regu Berangkok-B dibarisi Salim Tassim tekong, Dulamat Hj Bisnin apit kanan dan kombinasi baik Jamal Kassim di apit kiri boleh diiktiraf sebagai pemain terbaik kejohanan, tanpa menggunakan pemain simpanan mereka.
Terdahulu itu debaran separuh akhir menjadi pertarungan sengit dan hebat ketika regu Kota-B selayaknya ke final setelah menyingkirkan regu paling menyerlah, Yapana (Sangkabok) yang diwakili Azlan Yusof (tekong), Nasri Lakum (apit kiri), Saiful Rizal Orong (apit kanan) serta simpanan Rosli Zakir menerusi permainan ‘rubber game’ sebelum menang 21-19, 17-21 dan ‘tie break set’ 15-12.
Situasi sama juga mengiringi regu Berangkok-B mara ke perlawanan akhir setelah menumpaskan jirannya dari Kuala Penyu, regu Kerukan-B yang menurunkan Hamidun Hj Norsidi (tekong), Juhaili Hj Muslim (apit kiri) dan Dulaham Ajak (apit kanan) melalui permainan ‘straight set’ dengan 21-15, 21-17 di separuh akhir.
Selaku juara, regu Kota-B membawa pulang hadiah wang tunai RM500, di samping piala pusingan sumbangan Ahli Parlimen Beaufort, sebuah piala iringan dan lima medal individu.
Manakala regu kedua Berangkok-B itu meraih hadiah wang tunai RM300, sebuah piala iringan berserta lima medal perseorangan.
Tempat ketiga dikongsi bersama regu Kerukan-B dan Yapana masing-masing membawa hadiah wang tunai RM200, sebuah piala iringan, di samping lima medal perseorangan.
Aksi perlawanan akhir dan separuh akhir itu juga turut disaksikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Seri Panglima Hj Lajim Hj Ukin yang juga Ahli Parlimen Kawasan Beaufort dan isterinya Datin Normilah Siong. Beliau juga berkenan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Terdahulu itu pada hari Sabtu, kejohanan itu telahpun dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd Azman Datuk Seri Panglima Hj Lajim yang juga merangkap Pengerusi ASTAKA Cawangan Beaufort.
Kejohanan itu yang membabitkan daerah-daerah Sipitang, Kuala Penyu, Membakut, Menumbok dan Beaufort di Bahagian Pedalaman Bawah telah disertai 48 pasukan (regu).
Ianya juga bertujuan untuk pemilihan para pemain yang akan diserapkan mewakili Pedalaman Bawah bagi menghadapi Kejohanan Piala Presiden ASTAKA negeri yang dijangka berlangsung di Sandakan dari 7-9 Oktober ini.
Upacara penutup kejohanan itu dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Hj Lajim yang juga turut menyampaikan hadiah lebih 20 cabutan bertuah kepada penonton termasuklah pemenang hadiah utama televisyen 21 inci, basikal, kipas angin, seterika dan hamper-hamper yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan