Selasa, 18 Oktober 2011

Kehilangan 'Orang Nombor Satu' PSTWPL masih dirasai

Utusan Borneo, 30 Oktober 2011

LABUAN: Keanggotaan Persatuan Sepak Takraw W.P.Labuan (PSTWPL) kini hadapi kehilangan 'Orang Nombor Satu' di dalam pucuk kepimpinan badan sukan itu di sini apabila dikejutkan dengan pemergian Yang Di Pertuanya, Suhili Haji Razali (dalam gambar) telah meninggal dunia pada 18 Oktober 2011 lalu.

Dengan kekosongan jawatan Yang Di Pertua PSTWPL itu, bagaimanapun dengan automatik bakal dipangku oleh Timbalannya, Tarmizi Hj Mohd Isa.

Penggantian ini bagaimanapun tiada mesyuarat tergempar diadakan dan ia dibuat sementara menunggu tempoh dua tahun bagi mengadakan mesyuarat agung yang akan berakhir pada Tahun 2012.

Suhili, 52, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 pagi (18 Oktober lalu) disisi keluarga terdekatnya sewaktu dia mendapatkan rawatan penyakit kencing manis dan buah pinggang yang diidapinya di wad Hospital Neklaus Labuan.

Selesai jenazah dimandikan (fardhu kifayah) di Hospital Neklaus Labuan kemudian dibawa ke rumahnya di Kampung Gersik untuk disembahyangkan dan kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kejagus berdekatan pusat bandar W.P.Labuan pada jam 9.15 pagi hari yang sama.

Allahyarham Suhili yang bertugas di Jabatan Laut W.P.Labuan telah meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak.

Suhili yang mengasas penubuhan PSTWPL itu merupakan penyandang paling lama dalam sejarah menduduki kerusi nombor satu persatuan sukan berkenaan. Di samping itu beliau memiliki lesen pengadil sepak takraw Kelas 3 Kebangsaan.

Beliau juga pernah memberi peluang kepada mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Labuan, Hussein Abd Rahman, kemudian Suhili mengambil alih semula sehinggalah ke akhir hayatnya.

Beliau juga dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan pernah menghantar empat perwakilan, iaitu SUnya Nolilie Padil, Tarmizi Hj Mohd Isa, Sarawallieh Hj Ashrin dan Ungsu Saidin ke Mesyuarat Agung dan Bengkel PSM di Pulau Pinang.

Selain itu, usaha gigih dan komitmen berterusan Suhili melalui persatuan ini pernah menghantar lima (5) pemain remaja bawah 21 tahun bagi menyertai latihan sepak takraw PSM di Lumut, Perak.

Suhili juga membawa imej sukan itu di Labuan dengan mengundang dua bekas jurulatih Kebangsaan, Iskandar Arsat dan Amir Abu Bakar bagi mengendalikan Kem Latihan Sepak Takraw Remaja Labuan 2010 selama seminggu di Dewan Perbadanan Labuan yang merupakan program yang julungkali diadakan.

Di samping itu, Suhili juga menyandang jawatan Pengerusi Badan Masjid Jamek An Nur Labuan dan pernah menjadi Ketua Kampung sekali gus Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gersik/Saguking, W.P.Labuan.

Dengan bebanan tugas yang terlalu banyak dan faktor kesihatan, maka beliau telah mengundur diri dari menjawat Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK kampung berkenaan dengan digantikan Hussein Salleh, seorang pesara kerajaan bagi terus menerajuinya.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi sekitar tanah Perkuburan Kejagus, W.P.Labuan apabila ramai di kalangan keluarga, sanak saudara, sahabat handai datang sewaktu upacara pengkebumian dan kami sebilangan AJK tertinggi PSTWPL pun rasa hiba di atas kematian pemimpin Nombor Satu persatuan kami dan berpendapat Suhili adalah seorang yang dedikasi serta mempunyai kelas kepimpinan di dalam badan NGO.

Mungkin ramai berpendapat Persatuan Sepak Takraw di Labuan memang dipandang kecil, tetapi Suhili merupakan penggerak dan tulang belakang persatuan sukan itu yang berpandangan jauh dan kepimpinan beliau seharusnya dicontohi oleh semua pihak.

Melalui kesempatan ini mungkin warga sukan sepak takraw di W.P.Labuan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Suhili Hj Razali yang telah kembali ke Rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh dan beriman... Amin !!!

Allahyarham SUHILI @AHMAD HJ RAZALI ... jasamu menjadi kenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan