Isnin, 24 Oktober 2011

Regu SMKL muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Labuan 2011

LABUAN: Regu SMKL dinobatkan sebagai juara Kejohanan Sepak Takraw Terbuka anjuran Kelab Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan 2011 apabila menumpaskan regu Resoc-D menerusi 'straight set' dengan kiraan mata 21-19, 21-14 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Mutiara sekolah berkenaan, pada petang Sabtu lalu (22 Oktober).

Regu penganjur itu membawa pulang hadiah empat pasang 'track suit' untuk semua pemain, di samping sebuah piala pusingan disediakan oleh pihak penganjur.

Pencabarnya regu Resoc-D selaku naib johan sekadar menerima empat set jersi dan seluar sukan telah disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Abdul Aziz Sapiee.

Terdahulu itu, trio regu SMKL yang diwakili Hamidun Morsidi (tekong), Junos Jufri (apit kanan) dan Jamal Kassim (apit kiri) menang 'straight set' 21-10, 21-16 di separuh akhir setelah menewaskan regu Menumbok yang dibarisi Rehan Hassan (tekong), Sharul (apit kanan), Mohd Saiful Pg Omar (apit kiri) dan Abd Rosli Zakir selaku pemain gantian.

Manakala satu lagi separuh akhir, regu Resoc-D yang didominasikan Hermanus Ayong (tekong), Yahya Kassim (apit kanan) dan Muhdar Ainuddin (apit kiri) berjaya mengalahkan regu Bara menerusi 'straight set' 21-11, 21-13 yang dikemudikan Sofri Abd Rajak (tekong), Bainana Dukassim (apit kanan), Kamarul Yaakop (apit kiri) dan Ali Hamza sebagai Pengurus dan pemain simpanan.

Sebanyak 20 regu mengambil bahagian dan kejohanan tersebut merupakan aktiviti Kelab SMK Labuan yang menurut pihak penganjur ia dijangka diadakan setiap tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan