Selasa, 8 November 2011

Suami isteri Basrin dan Masyanih muncul johan hafazan sempena Hari Raya Aidiladha Kg Gimba

Utusan Borneo, 14 November 2011

KUALA PENYU: Pasangan suami isteri, Basrin Linggam dan Masyanih Hj Muin masing-masing muncul sebagai johan kategori lelaki dewasa dan bahagian wanita dewasa Pertandingan Hafazan Surah Al Fatihah dan Ayat-ayat Lazim pada sambutan Hari Raya Aidiladha Tahun 1432H/2011M di Kampung Gimba Mansud di daerah sini, baru-baru ini (6 November 2011).

Program yang julungkali diadakan itu dianjurkan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Gimba Mansud dan badan surau kampung itu yang berlangsung di Surau Al Ikhwan.

Basrin juga sekaligus diisytiharkan peserta terbaik keseluruhan acara dengan memperolehi markah tertinggi 89 peratus, di samping menewaskan 10 peserta lain bagi kategori lelaki dewasa 40 tahun ke atas.

Tempat kedua dan pemenang ketiga masing-masing disandang oleh Jahar Asri dan Hanafi Jali, kedua-duanya dari Kampung Mansud.

Di samping menyertai acara hafazan itu, Basrin yang berasal dari Sipitang yang juga mengetuai Kumpulan Al Rawadah telah berjaya memenangi tempat pertama acara Pertandingan Takbir Berkumpulan.

Tempat kedua ialah Kumpulan Bunga Raya yang dipimpin Hj Mustan Mata dan Kumpulan Tem Mansud Dua yang diketuai Jahar Asri menyandang tempat ketiga.

Isteri Basrin, iaitu Masyanih Hj Muin mendapat 83 peratus untuk memenangi johan kategori wanita dewasa bahagian Hafazan Al Fatihah dan Ayat-ayat Lazim mengalahkan Jainah Budri ditempat kedua. Hanya dua peserta mengambil bahagian.

Kategori Belia Bawah 40 tahun pula dimenangi Mohd Fazli Imam Misdeh muncul pemenang pertama, manakala Rajip Ajang dan Jasman Jasnih masing-masing ditempat kedua dan ketiga.

Kategori Beliawanis 40 tahun ke bawah telah dimenangi Rafini Jasnih selaku pemenang pertama dan tempat kedua Roslinah Ajang. Hanya dua peserta mengambil bahagian acara itu.

Sementara itu, Kumpulan As Sidek dinobatkan sebagai penyandang johan acara Bertakbir Kategori Belia, manakala Kumpulan Ikhwan ditempat kedua dan Kumpulan Al Iman Bukit Majagau ketiga.

Sementara peserta tunggal, Kumpulan Al Arwani yang diketuai Rambani Hj Muin dimahkotakan sebagai pemenang Pertandingan Bertakbir Kategori Wanita Dewasa dengan tanpa dicabar oleh kumpulan lain.

Bagi Kategori Beliawanis pula, pemenang pertama dimenangi oleh Kumpulan Al Wadah, manakala Kumpulan Wawadah dan Kumpulan An Nisha masing-masing jatuh ditempat kedua dan ketiga.

Selain itu, Kumpulan Rawdah yang diketuai Adik Maznah Saidah Sidek muncul sebagai pemenang pertama acara Bertakbir Kategori Kanak-kanak. Mereka gagal dicabar oleh Kumpulan Nur Iman dan Kumpulan Tunas Harapan yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Persembahan dua lagu nasyid oleh Kumpulan Pelajar SK Mansud dan bacaan Ayat-ayat Surah Kasidah disampaikan oleh Hj Asrin Hj Asmat sebagai menyerikan majlis pertandingan tersebut.

Hadir merasmikan majlis pertandingan ialah Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Negeri Sabah, Haji Samin Haji Ongki.

Ketika berucap merasmikan pertandingan itu, beliau memuji usaha badan penganjur untuk bekerjasama menjalinkan semangat perpaduan masyarakat baik di Kampung Gimba dan Mansud telah berjaya mengadakan satu program keagamaan yang seharusnya diadakan secara berterusan.

Haji Samin berkata, program murni dan mulia seumpama ini wajar diteruskan untuk menyemaikan budaya kecintaan kepada ilmu pengetahuan agama Islam bagi seluruh masyarakat kampung.

Terdahulu itu dalam ucapan aluan Pengerusi Pelaksananya, Mohd Taripin Atar, berkata Hafazan Al Fatihah dan Ayat-ayat Lazim ini bertujuan memahir dan melancarkan pembacaan surah-surah yang biasa diamalkan sewaktu solat harian.

Hadir sama ialah Ketua Kampung Gimba, Hj Muin Atar dan Ketua Kampung Mansud, Salli Haji Mokti serta Pengerusi JKKK Kg Gimba, Jipneh Ajang dan Pengerusi JKKK Kg Mansud, Hj Kadir Hj Yusof. Kesemua mereka turut menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
- (Teks dan Foto Oleh Sarawallieh Hj Ashrin).
Kumpulan AL ARWANI diketuai solonya, Rambani Hj Muin (depan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan