Khamis, 31 Januari 2013

Program Perpaduan KRT sebagai platform transformasi interaksi sosial

Utusan Borneo, 12 Januari 2013

KUALA PENYU;  Program Perpaduan yang dikelolakan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gimba Mansud baru-baru ini seharusnya dijadikan platform untuk mewujudkan transformasi masyarakat melalui aktiviti berinteraksi sosial di peringkat komuniti.

Ia amat sesuai sekali dengan objektif program itu untuk menjalinkan hubungan para penduduk setempat dan kampung lain yang turut mengambil bahagian.

Paling penting ialah warga komuniti dapat berkumpul dalam satu suasana harmoni dan berhibur sambil menyertai pelbagai aktiviti sukaneka dan kerja berpasukan yang ditunjukkan.
ISNIN Hj Aliasnih melastik sebagai simbolik acara.

Demikianlah kata Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Isnin Hj Aliasnih dalam ucapannya ketika merasmikan Program Perpaduan di astaka baharu Kampung Gimba Mansud baru-baru ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan beras dan hamper-hamper kepada beberapa warga emas hilang upaya serta ibu bapa tunggal Kampung Mansud dan Kg Gimba di majlis itu.

Terdahulu itu, Pengerusi KRT Kg Gimba, Jipnih Ajang dalam ucapan alu-aluannya berkata, program ini memberi pendekatan kepada penduduk dapat bertemu mesra dengan semangat mengukuhkan perpaduan menerusi aktiviti yang diatur.
Dari kiri; Abd Rahman, Jipnih, Mohd Taripin dan Aliasnih

“Melalui program ini kami berjaya merealisasikan kehendak penduduk kampung dengan cara saling berganding bahu melakukan sesuatu kegiatan bermakna hasil perbincangan bersama,” kata Jipnih yang juga Pengerusi JKKK Kampung Gimba.

Hadir sama ialah Ketua Kampung Gimba, Hj Muin Atar; Ketua Kampung Mansud, Sali Hj Mokti; Pengerusi Badan Surau Al Ikhwan Kg Gimba, Mohd Taripin Atar; dan Imam Kariah Masjid Nur Iman Kg Mansud, Misdeh Musran.

Di samping itu, para tetamu dan warga kampung juga menikmati jamuan makan tengah hari yang dimasak secara bergotong-royong di perkarangan surau Al Ikhwan Kampung Gimba Mansud.
HJ ASRIN HJ ASMAT menerima sumbangan beras disampaikan Aliasnih.

Kemuncak acara pada malam itu yang sepatutnya dirasmikan oleh Adun Kuala Penyu, John Teo Mau Sing, bagaimanapun beliau gagal hadir.

Acara malam itu diserikan dengan pertandingan akhir Rentak Juara Terbuka Kuala Penyu yang disertai oleh tiga kumpulan kugiran (band) popular di daerah ini.

Kumpulan Al Vano dari Kg Jangkit muncul sebagai johan, manakala Kumpulan Ini Kalilah dari Kg Tempurung dan Medley Group Kg Gimba, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Kumpulan Al Vano pemenang johan rentak juara.

Selain itu, lebih 40 Cabutan Bertuah untuk pengunjung, termasuklah tiga buah basikal sport sebagai hadiah utama atas sumbangan Adun Klias, Datuk Hajjah Azizah Mohd Dun.

Di samping itu, pelbagai hadiah disediakan seperti barangan elektrik, telefon bimbit, mesin rumput, mesin kelapa, dapor memasak, hamper-hamper dan sebagainya termasuklah wang tunai, serta peraduan gubahan bunga.

Turut hadir dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah malam itu ialah KAN Kuala Penyu, Ibrahim Hj Sapri dan isteri serta Pengerusi JKKK Kampung Mansud, Hj Kadir Hj Yusof. – Oleh Sarawallieh Hj. Ashrin/ sarawallieh@yahoo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan