Sabtu, 20 Oktober 2012

Regu Perbadanan Labuan B julang Piala YDP Maksak W.P Labuan 2012


Utusan Borneo, Selasa 23 Okt 2012

LABUAN:  Regu penganjur, Perbadanan Labuan (PL-B) muncul sebagai juara pada Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Piala Yang Di Pertua Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak) Wilayah Persekutuan Labuan 2012.

Kejohanan anjuran bersama Persatuan Sepak Takraw W.P.Labuan (PSTWPL) dan Perbadanan Labuan tersebut telah berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan tengah hari Ahad lalu (14 Okt).

Tanpa melakukan pertukaran pemain, kedua-dua regu beraksi cemerlang dan kombinasi yang baik dipamerkan kepada para penonton di dewan berkenaan.

Regu kedua tuan rumah PL-B itu melakar sejarah tersendiri selaku penaja kejohanan dengan menewaskan regu ketiga mereka, Perbadanan Labuan (PL-C) melalui kiraan mata 15-10, 7-15 dan berlanjutan ke ‘tie break set’ 15-8 dalam permainan yang berlanjutan lebih satu jam.
Regu PL-B diwakili dari kiri, Dolikum Ajak, Ali Ahmad Kimsin, Omar Mia dan Asman Jowly.

Aksi hebat ditunjukkan para pemain di perlawanan akhir itu turut disaksikan Pemangku Timbalan Yang Di Pertua PSTWPL, Tarmizi Isa, Penolong SU persatuan berkenaan, Sarawallieh Hj Ashrin yang juga bertindak sebagai pengelola pertandingan dan ahli jawatankuasa tertinggi persatuan sukan berkenaan.

Selaku juara, PL-B membawa pulang Piala YDP Maksak W.P.Labuan serta wang tunai RM500, di samping ketua regunya Ali Ahmad Kimsin dinobatkan sebagai pemain apit kiri terbaik di kejohanan tersebut.
Regu PL-C dari kiri Mohd Sabaruddin, Mohd Nasweirul, Jackleus, Mohd Roman dan Abidin (Jurulatih)

Pada set pertama regu PL-B mendahului saingan dengan mengutip mata kemenangan 15-10, tetapi trio regu itu tewas pada set kedua apabila PL-C menang dengan 15-7. Walaubagaimanapun pengalaman mengatasi segalanya meskipun dicabar sengit pada set penentuan apabila PL-C terpaksa akur kemenangan mutlak regu juara itu dengan 15-8.

Trio regu pemenang juara PL-B mendapat khidmat pemain apit kanan, Dulikom Ajak yang lazimnya bermain diposisi kiri akan tetapi ketua regu Ali Ahmad Kimsin mengambil alih tugasan diposisi itu serta Asman @Domek Jowly selaku tekong dan Omar Mia dibangku simpanan.
Kedua-dua regu final bergambar kenangan dengan JK pengelola sebelum perlawanan akhir.

Naib juara PL-C pula meraih hadiah wang tunai RM300 di samping boleh berbangga apabila dua pemain mereka, iaitu Mohd Nasweirul Mat Sapawi yang mewakili Sabah untuk Temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang 2012 dipilih selaku tekong terbaik dan pemain muda Jackleus Yulius diumumkan sebagai apit kanan terbaik pada kejohanan itu.

Regu PL-C turut dibantu oleh Mohd Sabaruddin Murad (apit kiri) dan dua pemain simpanan Mohd Roman Juddin dan Abidin @Jumat Ahmad bertindak sebagai jurulatih.

Abidin diberi penghargaan hadiah wang tunai RM100 kerana bakti beliau membawa kejayaan regu wanita Labuan memenangi pingat gangsa ketika mewakili Wilayah Persekutuan pada Temasya Sukma Pahang 2012 lalu.
Sebelum mara ke peringkat akhir regu PL-B pula menang ‘straight set’ dengan mata 15-11, 15-9 sejurus menumbangkan seteru mereka regu utama PL-A yang diwakili Junos Jufri yang bertindak sebagai tekong menggantikan Dulamat Bisnin, di samping khidmat pemain import Dulaham Ajak diposisi apit kanan dan Jamal Kassim di apit kiri.

Pada separuh akhir kedua, regu PL-C berjaya menyingkirkan juara Liga Sukan Untuk Semua (LSUS) W.P.Labuan 2012, regu 511 menerusi permainan yang berlanjutan hamper satu jam. Pada set pertama PL-C menang 15-11, tetapi kecundang 7-15 di set kedua bagaimanapun mereka mereka bangkit dengan memenangi ‘tie break game’ dengan kutipan mata 15-12.

Regu 511 itu didominasikan pemain tekong Sufri Abdul Razak, Muhdar Ainuddin posisi apit kiri dan Bainana Dukasim di apit kanan serta Kamarulzaman Yaakup dan Mohd Zaidi Mohd Shari selaku pemain simpanan.
Regu PL-B berdiri dan regu PL-C duduk mencangkung.

Dua regu PL-A dan 511 berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM100 selaku pemenang ketiga bersama di kejohanan itu.

Sebanyak 27 regu mengambil bahagian dalam kejohanan yang julung kali diadakan tersebut, dimana enam regu dari Sabah termasuk masing-masing dua dari Beaufort dan Sipitang dan masing-masing satu dari Kuala Penyu dan Menumbok, di samping 21 regu dari Labuan.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pemangku YDP PSTWPL, Tarmizi Hj Isa  manakala majlis perasmian kejohanan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Amir Onn Hj Mustapha. – Oleh sarawallieh@yahoo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan