Isnin, 18 Februari 2013

Abd Rahman menang tiket penerbangan ke Jakarta

Utusan Borneo, Selasa 19 Feb 2013

LABUAN: Peserta dari Kampung Mansud, Kuala Penyu, Abd Rahman Ali memenangi hadiah utama Pertandingan Memancing Pesisir Pantai di Kompleks Sukan Laut di sini sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-23 Labuan 2013, pada hari Ahad lalu (17 Feb).
ABD RAHMAN ALI memperagakan replika cek yang diterima.

Pesara polis berusia 63 tahun itu berjaya memenangi hadiah tiket penerbangan pergi-balik dari Kota Kinabalu ke Jakarta.

Ketika ditemui sejurus penyampaian hadiah, beliau merasa bersyukur dan berterima kasih kepada jawatankuasa pengelola dan pihak penganjur Perbadanan Labuan serta Syarikat HMD Group selaku penaja penerbangan itu.
ABD RAHMAN merakamkan gambar bersama penulis.

Sementara itu, tangkapan ikan bebatik seberat 2.84 kilogram membawa tuah kepada Mohd Faizal Saidin untuk dinobatkan juara kategori joran moden pada pertandingan memancing terbuka sempena sambutan hari wilayah itu.

Mohd Faizal, 35, berasal dari Kampung Layang-layangan di sini berjaya meraih wang tunai sejumlah RM1,000.

Manakala pada sebelah petangnya, Jamaludin Karim pula diisytiharkan juara kategori joran tradisi dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 setelah berjaya menaikkan ikan kirung-kirung seberat 65 gram.
MOHD FAIZAL SAIDIN juara joran moden.

Tempat kedua bagi acara kategori joran moden dimenangi oleh Jamil Andin, 49, dari Kg Bukit Kuda apabila berjaya menangkap ikan bebatik seberat 1.76 kilogram untuk membolot hadiah wang tunai RM500.

Bekas pemenang juara acara ini musim lalu, Ramli Malik, 40, dari Kg Bukit Kuda jatuh di tempat ketiga dengan memperolehi ikan cermin-cermin seberat 1.44 kilogram untuk memiliki hadiah wang tunai RM200.
Tempat kedua bagi kategori joran tradisional pula pemenang kedua dimenangi oleh Mohd Hussin Karim, 43, yang berjaya mengail ikan kirung-kirung seberat 60 gram pada jam 2.03 petang untuk memenangi hadiah wang tunai RM500.
JAMIL ANDIN pemenang kedua joran moden.

Tempat ketiga, juga dengan berat yang sama tetapi dipisahkan dengan perbezaan masa,  dimenangi oleh Mohd Ali Kamarudin yang berjaya menaikkan ikan kirung-kirung seberat 60 gram itu pada jam 2.36 petang untuk memenangi wang tunai sejumlah RM200.

Kesemua pemenang tempat keempat hingga ke-20 bagi kedua-dua kategori itu masing-masing menerima hamper dan pelbagai barangan dapur.

Keseluruhannya, lebih 700 orang mengambil bahagian acara kategori joran moden dan joran tradisi pada tahun ini.
RAMLI MALIK tempat ketiga joran moden.

Tiga hadiah misteri turut disediakan sebagai pengisian acara, iaitu pemenangnya Hussin Hanafiah menaikkan seekor anak penyu, Jorairey Jali dan Roslan Ab Gani, masing-masing seekor ketam, manakala Jamaluddin Abdullah memenangi acara menjala (merambat) dan beberapa cabutan bertuah untuk para pengunjung.

Pertandingan anjuran Perbadanan Labuan itu dikelolakan Persatuan Belia-Beliawanis Kg Sungai Pagar/Miri dan berlangsung dari jam 9.30 pagi dan berakhir 4.00 petang. – Oleh Sarawallieh Hj. Ashrin/ sarawallieh@yahoo.com.my
Juara joran tradisi Jamaludin (tengah) bersalam dengan Ramli (baju gelap) diapit pemenang kedua Mohd Hussin (kiri) dan Mohd Ali (kanan) di tempat ketiga.
Para peserta memancing dari Kg Mansud, Kuala Penyu bergambar kenangan di Labuan Water Sport Complex, Tg Purun.
PPppppp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan