LABUAN;
Lagu Kebangsaan Indonesia berkumandang empat kali di Dewan JS Sports
Centre Labuan apabila kontinjen lelaki dan wanita Sulawesi Selatan berjaya
mendominasikan acara sepaktakraw dengan menyapu bersih 4 pingat emas pada Temasya
Sukan Persahabatan edisi ke-8 BIMP-EAGA 2014 di Wilayah Persekutuan Labuan yang
berakhir pada petang hari Selasa lalu.
Pada hari
pertama pasangan regu berdua wanita Sulawesi Selatan yang diwakili Astrina dan
Andi Misrawati Lewa yang merangkul kilauan emas pertama menewaskan regu double
Sabah diwakili Razmah Anam dan Kamisah Khamis untuk menyandang pingat perak di
dalam pertandingan yang dijalankan secara round-robin satu kumpulan.
Dewan baharu JS
Sports Centre, Kampung Segumau yang menjadi tumpuan para peminat sepaktakraw
turut menyaksikan dua regu regu double wanita tuan rumah, Labuan A dan Labuan B
berkongsi pingat gangsa.
Sabah juga gagal
dalam acara sepaktakraw kategori double lelaki bagi penentuan pingat emas dan
perak apabila pasangan Mohd Radzi Awang dan Mohd Khaherul Kahirun tumpas
ditangan pasangan Sulawesi Selatan, Marsudi Sirajuddin dan Muhammad Hardiansyah
melalui ‘rubber game’ 2-1 (16-21, 21-15, 21-18) di peringkat akhir.
Manakala regu
berdua lelaki tuan rumah, Labuan A dan Palawan, Filipina sekadar berkongsi ditempat
ketiga membawa pingat gangsa.
Pada hari kedua
bermula acara regu trio yang menjadi idaman ramai penonton menyaksikan sekali
lagi kontinjen Sulawesi Selatan berjaya mempertahankan pingat emas yang
diperoleh di Filipina 2012.
Kombinasi rangkaian
regu wanita Cahya Pertama Fahrani (tekong), Astriana (apit kiri) dan Andi
Misrawati Lewa (apit kanan) serta Iin Budiyati Budiman (simpanan) memenangi
semua empat perlawanan untuk mengutip 8 mata penuh untuk muncul pingat emas.
Trio wanita Sabah
yang diwakili Nurfaezahtun Masri (tekong), Nurfateha Rosli (apit kiri),
Nurfaezahahni Masri (apit kanan) serta Alice Harun dan Elizah Blanda @Bahari
mengumpul 6 mata untuk meraih pingat perak.
Regu trio wanita
Labuan A dan Palawan diumumkan berkongsi pingat gangsa.
Regu sepaktakraw
lelaki Sulawesi Selatan sekali lagi mempertahankan pingat emas di Filipina pada
2012 dengan mudah menewaskan regu Mindanao menerusi ‘straight set’ (2-0) 21-6,
21-8 di peringkat akhir.
Terdahulu itu, regu
Sulawesi Selatan yang dikemudikan Marsudi Sirajuddin (tekong), Rahmat Hidayat
(apit kiri) dan Dahril Arisandi (apit kanan) menampah tiket ke final setelah
berjaya mengalahkan Labuan A menerusi ‘straight set’ 21-14, 21-15 di separuh
akhir.
Manakala regu
Minadano yang diwakili Lemuel Ilogon (tekong), Arnold Anramig (apit kiri)
Alexis Gerald (apit kanan) layak ke perlawanan akhir setelah menundukkan Brunei
Darussalam juga ‘straight set’ 21-19, 21-19.
Regu trio Brunei
Ds dan Labuan A yang kecundang separuh akhir diisytiharkan berkongsi pingat gangsa.
Kemuncak acara
sepaktakraw dengan upacara penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang
dilakukan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Datuk Hj Isli dan Timbalan
Presiden UMNO Labuan, Datuk Bashir Hj Alias.
Kontinjen Sabah
Di Bawah Bayu muncul sebagai juara keseluruhan dengan memperoleh 14 emas, 13
perak dan 15 gangsa. Manakala Sulawesi Selatan ditempat kedua membawa pulang 10
emas, 5 perak dan 4 gangsa.
Tempat ketiga
Sarawak memiliki 8 emas, 10 perak dan 9 gangsa. Sementara Papua dengan 7 emas,
2 perak dan 3 gangsa. Kalimantan Timur yang bakal menjadi tuan rumah temasya
Sukan BIMP-EAGA ke-9 di Samarinda pada 2016 membawa pulang 6 emas, 5 perak dan
4 gangsa.
WP Labuan selaku
tuan rumah buat pertama kali dalam sejarah temasya tersebut mendapat 5 emas, 10
perak dan 20 gangsa.
Kalimantan Barat
memperoleh 5 emas, 4 perak dan 2 gangsa, manakala Kalimantan Selatan dengan 4
emas, satu perak dan satu gangsa. Brunei Ds mendapat 3 emas, 8 perak dan 4
gangsa.
Mindanao pula
mendapat 3 emas, 6 perak dan 4 gangsa. Sementara Maluku masing-masing 2 emas, 2
perak dan 2 gangsa. Manakala Palawan menyumbangkan 2 pingat gangsa dari acara
sepaktakraw.
Sebanyak 12
kontinjen mengambil bahagian pada temasya Sukan Kawasan Pertumbuhan Ekonomi
Asia Timur ke-8 (BIMP-EAGA 2014).
Upacara penutup
temasya sukan itu pada malam Rabu lalu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan
Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan. – Oleh Sarawallieh Hj. Ashrin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan