Selasa, 16 Oktober 2012

Kejohanan Sepak Takraw Piala YDP Maksak 2012

LABUAN: Sepak mula 27 pasukan mengambil bahagian di Kejohanan Sepak Takraw Antara Regu Terbuka Piala Yang Di Pertua (YDP) Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak) Wilayah Persekutuan Labuan 2012 berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan pada Sabtu ini (13 Oktober) bermula jam 8.00 pagi.

“Kejohanan tersebut disertai 6 pasukan jemputan dari daerah Pedalaman Bawah (Sabah) dan 21 regu dari W.P.Labuan selaku tuan rumah,” kata Setiausaha pertandingan, Sarawallieh Hj Ashrin (gambar).

Kesemua enam (6) regu yang diundang, termasuklah 2 regu UMNO Sipitang (A & B), Klias A dan B dari Beaufort, dan masing-masing satu regu dari Menumbuk dan Gimba, Kuala Penyu.

Katanya, kejohanan ini yang julungkali dianjurkan bersama Persatuan Sepak Takraw W.P.Labuan (PSTWPL) dengan kerjasama jawatankuasa pengelola akan berlangsung selama 2 hari sehingga pada hari Ahad ini (14 Oktober) di dewan berkenaan. 

Sarawallieh, memberitahu pembukaan rasmi kejohanan ini pada pagi 13 Oktober ini akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Tuan Amir Onn Hj Mustapha yang juga merangkap Timbalan YDP Maksak W.P.Labuan.

Manakala majlis penyampaian hadiah keesokannya akan dilakukan oleh Pemangku YDP PSTWPL, Tarmizi Hj Isa.

Menurut Sarawallieh, bakal juara akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500, di samping sebuah Piala YDP Maksak W.P.Labuan.

Manakala pemenang naib johan akan menerima wang tunai RM300 dan 2 pemenang tempat ketiga masing-masing berkongsi hadiah wang tunai RM100.

Tambah Sarawallieh, kejohanan ini juga akan memilih 3 pemain terbaik, iaitu posisi tekong, apit kanan dan apit kiri terbaik yang juga bakal menerima piala individu.

Sebanyak 27 regu mengambil bahagian, iaitu Kumpulan A – Kataru C, Perbadanan Labuan C, UMNO Sipitang B dan MSSWP; Kumpulan B – Saga C, Gabungan Lubuk 10-A, Klias A dan KML Team. 

KUMPULAN C – Saga A, Marathon, Pendidikan dan Sg Miri; Kumpulan D – Kataru A, Gabungan Lubuk 10-B dan Marihang Kam; Kumpulan E – Saga B, Perbadanan Labuan B dan Menumbuk;

Kumpulan F - Durian Tunjun B, Medan dan UMNO Sipitang A; Kumpulan G - Kataru B, Perbadanan Labuan A dan Klias B; Kumpulan H - Durian Tunjung A, 511 dan Gimba.

          Keratan Akhbar Utusan Borneo 13 Oktober 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan